Tuesday, October 14, 2008

Tradisi Boot Room


Masa Bill Shankly menerajui Liverpool, satu tradisi baru telah dimulakan. Beliau banyak menggunakan kumpulan yang dipanggil Kumpulan “Boot room” kerana kumpulan ini berjumpa dan berbincang di dalam bilik yang digunakan untuk menyimpan but dan pakaian pemain-pemain bola. Bilik ini terletak di bawah Main stand di Anfield.

Semasa Bill Shankly dilantik menjadi pengurus Liverpool, beliau membuat rombakan besar kepada skuad pemainnya. Daripada kumpulan jurulatih, beliau mengekalkan Bob Paisley, Reuben Bennett dan Joe Fagan. Kumpulan ini dijadikan asas kepada Kumpulan Boot room Liverpool. Kumpulan ini membincangkan prestasi pemain, kaedah latihan, taktik permainan dan membuat penilaian mengenai pasukan lawan untuk permainan berikutnya.

Keahlian kumpulan ini menyeluruh, daripada jurulatih sehinggalah kepada pengintip yang membuat tinjauand an kajian mengenai pasukan lawan. Ahli-ahli Kumpulan boot room termasuk Bob Paisley, Ronnie Moran, Joe Fagan, Reuben Bennet dan Roy Evans. Geoff Twentyman menjadi pencari bakat, dan membawa pemain seperti Alan Kenedy ke Anfield. Geoff Twentyman menyamar ketika melihat pemain-pemain yang sedang dinilai, supaya tiada siapa yang tahu bahawa Liverpool berminat dengan pemain tersebut. Phil Thompson juga menjadi ahli Boot room sehingga beliau dipecat oleh Greame Souness.

Antara perubahan yang dibawa oleh Bill Shankly dan pasukan Boot Room adalah menjadikan pusat latihan di Melwood menjadi pusat latihan moden dan lengkap. Permainan 5 sebelah diperkenalkan untuk memupuk falsafah permainan Liverpool - Pass and move, keep it simple. Pemain akan lapor diri di Anfield dan pergi ke Melwood dengan bas, dan selepas berlatih akan pulang ke Anfield dengan bas. Pemain-pemain makan bersama, dan makanan dikawal. Pemain-pemain akan dipastikan mengadakan latihan "warm down' dengan betul untuk menghindarkan kecederaan. Kejayaan rutin yang diperkenalkan dapat dilihat dengan nyata apabila Liverpool menjadi juara dalam tahun 1966 dengan hanya menggunakan 14 orang pemain.

Ahli-ahli kumpulan boot room sering dipilih sebagai pengurus Liverpool – Bob Paisley, Joe fagan, Ronnie Moran, Roy Evans semuanya anggota penting kumpulan Boot room.

0 comments:


Blogspot Template by Isnaini Dot Com Powered by Blogger and Local Jobs